SHAH ALAM, 14 Februari 2012 – Seramai 30 orang pelajar hari ini dianugerahkan biasiswa daripada syarikat pengeluar kereta nasional PROTON, bagi melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan, perakaunan, ekonomi dan komunikasi ke 14 institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang terpilih di seluruh negara.
Penyampaian biasiswa tersebut telah disempurnakan oleh Penasihat PROTON, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu majlis yang diadakan hari ini. Turut hadir di majlis penyampaian biasiswa tersebut ialah YBhg Dato’ Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, Pengerusi PROTON, YBhg Dato’ Jaafar Indot selaku Pengerusi YAYASAN PROTON, dan Encik Suhaimi Sulong, Pengarah Kumpulan Sumber Manusia PROTON.
Sebanyak RM 2 juta telah diperuntukkan oleh YAYASAN PROTON, bagi membiayai kos pengajian kesemua 30 pelajar yang terpilih ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Jumlah peruntukan ini juga merangkumi yuran pengajian keseluruhan, elaun sara hidup, elaun buku dan tempat tinggal.